About Us

My photo
Assalamualaikum & Salam 1Malaysia. Kami adalah satu pasangan jurufoto bebas yang bergerak atas nama Coupleizz Freelance Photographer yang baru ditubuhkan pada awal tahun 2011 dan memulakan tugas pertama pada bulan Mac 2011. Pada hujung bulan Mac 2011, photoblog kami ini telah dibina dengan tujuan mempromosikan hasil kerja kami serta koleksi gambar yang kami ambil sama ada ketika kerja atau pun suka-suka. Buat masa ini, setiap pelanggan kami berpuas hati dengan kerja yang kami lakukan dan jika anda berminat dengan kami, segeralah menghubungi kami.

Sunday, 3 April 2011

..:: Untuk Apa Anda Membayar Jurugambar ::..




Petikan asal dari Majalah Pesona Pengantin
Oleh: Hasnuddin Abu Samah, Pengarah Urusan, Adan Impresif.
 
 


Apabila anda mengupah seorang jurugambar untuk merakamkan gambar majlis perkahwinan anda, beliau akan mengenakan sejumlah harga tertentu bagi perkhidmatannya. Sekiranya anda tidak memahami akan proses yang terlibat dalam menghasilkan gambar perkahwinan, anda tentu akan menganggap harga yang dikenakan adalah tidak setimpal. Berikut saya senaraikan 5 kos utama yang sebenarnya terlibat dalam menghasilkan gambar perkahwinan:


1) Kos Peralatan Kamera
 

Untuk menghasilkan gambar perkahwinan yang baik memerlukan kamera yang berkualiti. Satu set kamera digital yang baik berharga dalam lingkungan RM10,000. Selain dari kos pembelian, kos pemeliharaan juga diambil kira. Set kamera ini perlu dinaiktaraf, diservis dan diperbaiki jika berlaku kerosakan. Peralatan digital mengalami susut nilai yang lebih cepat berbanding peralatan kamera analog. Dengan mengambil kira semua kos inilah jurugambar mengenakan harga tertentu untuk perkhidmatan mereka. Ini bermakna, selain mengupah jurugambar, anda juga sebenarnya membayar kos ‘sewa’ peralatan mereka.



2) Kemahiran Jurugambar
 

Untuk menjadi seorang jurugambar yang baik, seseorang itu perlulah mempunyai kemahiran fotografi yang tinggi. Selain dari itu, jurugambar juga perlu mempunyai kemahiran lain seperti kreativiti, pandai berkomunikasi, mempunyai citarasa yang tinggi dan kemahiran lain. Kemahiran ini hanya dapat dikuasai dengan pengetahuan, latihan dan pengalaman. Ini bermakna, semakin tinggi kemahiran seseorang jurugambar itu, semakin tinggi pula harga yang akan dikenakan untuk perkhidmatannya.



3) Masa Perkhidmatan
 

Jurugambar adalah seorang profesional. Ini bermakna, beliau hanya akan mendapat bayaran dari kerja perkhidmatan yang dilakukan. Seseorang jurugambar cuma boleh merakam gambar untuk satu majlis sahaja pada sesuatu masa. Ini bermaksud, masa adalah satu faktor yang amat bernilai kepada seseorang jurugambar. Dengan itu, jurugambar mengenakan harga untuk perkhidmatannya berdasarkan berapa lama masa yang perlu diambil untuk sesuatu tugasan.



4) Perkhidmatan Selepas Rakaman
 

Setelah jurugambar selesai merakam gambar untuk majlis perkahwinan anda, tugas beliau sebenarnya tidak habis di situ sahaja. Beliau perlu menyunting kesemua gambar yang telah dirakam dengan memilih gambar yang terbaik sahaja. Sekiranya perlu, gambar yang terpilih akan diperbaiki lagi dari segi kecerahan, kontras, warna, ketajaman, komposisi dan sebagainya. Seterusnya, barulah gambar anda tadi akan dicetak. Selepas cetakan gambar siap, jurugambar akan meneliti kembali kualiti cetakan gambar. Gambar yang tidak sempurna akan dicetak kembali agar mencapai tahap kualiti yang dikehendaki. Akhir sekali, kesemua gambar-gambar tersebut akan disusun ke dalam album sebelum diserahkan kepada pelanggan.



5) Kos Material                                                    


Selain dari kos perkhidmatan yang disebutkan di atas, kos material juga terlibat dalam menentukan harga perkhidmatan seseorang jurugambar. Antara kos material yang terlibat ialah kos pengangkutan, cetakan gambar, album, bil telefon, kos promosi serta lain-lain kos peniagaan. Dengan mengetahui kos sebenar yang terlibat dalam menghasilkan gambar perkahwinan, diharap anda akan lebih menghargai peranan seorang jurugambar walaupun anda terpaksa mengeluarkan sejumlah wang untuk membayar perkhidmatannya. Walau apa pun, sememangnya berbaloi untuk membelanjakan wang kepada sesuatu yang boleh anda tatap sehingga ke akhir hayat. Tambahan pula, ianya adalah gambar hari yang paling bahagia dalam hidup anda.



Jadi fikir-fikirkan lah... 
Antara duit dan kenangan, 
duit boleh cari, 
tetapi kenangan manis datang hanya sekali.

..:: nukilan mohdizzatfirdausmohdzaid ::..


No comments:

Post a Comment